Thursday 24 October 2013

Kembara ke Tanah Suci : Travelog Umrah Ziarah Jordan 4

Belakang: Jabal Thur

Para Jemaah di Jabal Rahmah


Di dalam hotel jam menunjukkan sudah 4.30 petang waktu di Jordan…

“Sayang, siap-siaplah berkemas dah 4.30 ni… Jangan lupa mandi nanti niat mandi sunat ihram”
“Lepas tu solat sunat ihram terus ya”, aku berpesan kepada diriku dan isteriku.

Selesai memakai ihram dan solat sunat ihram, perasaanku bercampur-baur. Gembira, gementar, sayu, semua ada pada waktu itu. Gembira kerana aku tak menyangka aku telah dijemput Allah ke ‘rumahNya’. Gementar pula kerana

terkenangkan dosa-dosaku yang lalu. Sayu kerana Allah memilih dan menerima kami untuk menjadi insan-insan terpilih. Mudah-mudahan, aku sentiasa tidak lupa kepadamu Ya Allah kerana Engaku tidak pernah melupakan diriku dan hamba-hambanya.

“OK dah sedia…jom turun”.

Setelah terbuka pintu lif, aku melihat sudah ada beberapa orang jemaah bersiap sedia. Masing-masing sudah bersiap dengan pakaian ihram mereka. Kemudian muncul pula beberapa jemaah lain dan Ustaz Ghafur.

“OK semua dah ada disini, bolehlah kita tunggu bas diluar”, kata Ustaz Ghafur.

Bas tiba lebih kurang jam 6.00 petang dan kami terus di bawa ke ‘airport’. Urusan-urusan di ‘airport’ Alhamdulillah berjalan dengan lancar. Jam 9.00 pintu berlepas kami telah dibuka. Kami akan terbang ke Jeddah menaiki pesawat Royal Jordanian (RJ 700). Inshaa Allah kami dijadualkan tiba di Jeddah jam 12.00 mlm waktu Arab Saudi.

Di dalam pesawat hatiku berdebar-debar, maklumlah ini kali pertama akan menjejakkan kaki di tanah yang mulia dan suci. Lebih kurang 45 minit untuk sampai ke Jeddah, juruterbang membuat ’announcement’ bagi sesiapa yang berihram dan akan menunaikan umrah untuk berniat kerana sudah berada di sempadan (Miqat Makani). Ustaz Ghafur pun bangun daripada kerusi pesawat dan berjumpa setiap jemaah mengingatkan untuk berniat ihram dan umrah. Aku pun terus berniat ihram dan umrah, bermakna kita harus melakukan umrah dengan sebaiknya dan menjaga 13 larangan ketika berihram.

Setibanya di lapangan terbang Jeddah kelihatan begitu ramai jemaah yang bakal menunaikan umrah. Mereka semua memakai ihram sama seperti aku, tiada beza antara kita. Aku dapat rasakan kebesaran Allah, semua jemaah dari seluruh pelusuk dunia datang ke sini semata-mata ingin mencari redha-Nya. 

Setelah keluar sahaja dari lapangan terbang dan menghirup udara Jeddah (Arab Saudi)…perasaanku terus sayu. Air mataku menitis…dalam hatiku berkata,

“Ya Allah, aku sudah sampai di bumi ini…aku bukanlah insan yang baik tetapi Engkau menerimaku Ya Allah. Terlalu banyak dosa-dosaku tetapi Engkau masih memilihku”.

Kami terus menaiki bas untuk perjalanan yang seterusnya. Kali ini kami akan dipimpin oleh Mutowwif kami disana, Ustaz Rizqon. Perasaan sayu terus terasa dibenak hatiku sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Kota Suci Mekah.

Setelah hampir 1 jam setengah berada di dalam bas. Ustaz Rizqon memimpin kami untuk bertalbiah kerana kami hampir masuk ke Sempadan Tanah Suci Mekah.


Pada masa ini air mataku bercucuran menitis…hatiku berkata-kata lagi..

“Ya Allah, aku bukanlah hambamu yang baik…aku lalai Ya Allah… tapi Engkau menerimaku Ya Allah…sesungguhnya Engkau tak pernah melupakanku Ya Allah… Ya Allah ampunilah aku Ya Allah, aku datang menyahut panggilanMu Ya Allah…”

Air mataku terlalu murah ketika disini…tapi bagiku tak ada apa yang aku malukan lagi…aku hanya malu pada Allah yang sentiasa menerima aku dan sesiapa sahaja hamba-hambaNya.

Kemudian Ustaz Rizqon terus menyatan bahawa kami semua telah selamat melepasi sempadan Tanah Suci. Mendengar sahaja kata-kata tersebut…aku menangis lagi seperti kanak-kanak kecil.

“Ya Allah, aku sudah berada di Tanah SuciMu Ya Allah…sesungguhnya Engkau telah menerimaku Ya Allah…kau terimalah kedatanganku serta taubatku Ya Allah...”.

Ustaz Rizqon terus memimpin kami untuk berdoa masuk ke Tanah Suci…

Bersambung TUZJ 5…

No comments:

Post a Comment