Monday, 28 October 2013

Kembara ke Tanah Suci : Travelog Umrah Ziarah Jordan 5


Pemandangan dari tingkat 2 Masjidil Haram

Selepas menunaikan solat


Alhamdulillah kami telah sampai di kawasan penempatan kami selama 8-9 hari seterusnya. Jam sekarang menunjukkan sudah pukul 3.00 pagi waktu Mekah. Kami terus di bawa ke hotel penginapan kami Abeer Garden Hotel.

Semasa di lobi hotel, para petugas Andalusia sibuk menguruskan bagasi, kunci bilik hotel serta makanan kami.

“Assalamualaikum, para jemaah yang di muliakan Allah sekelian, Alhamdulillah haji dan

hajjah sudah sampai di Tanah Suci Mekah dengan selamat”. Seorang petugas memulakan bicaranya.

“Jadi selepas ini kita akan naik ke bilik sebentar untuk makan bekalan yang kami sediakan kemudian bolehlah bersiap serta mengambil wudhu’ untuk menyelesaikan umrah kita”.

“Oleh itu, haji dan hajjah diingatkan untuk menjaga pantang larang ihram. Kita akan berkumpul semula di lobi ini pada jam 3.45 pagi, Inshaa Allah”.

Kami dibekalkan nasi ayam penyet dan air mineral untuk mengalas perut kami.

“Wah, sedapnya nasi ayam penyet ni bang, lagi sedap daripada kat Malaysia”. Kata isteriku, aku hanya tersenyum. Mungkin kesedapan itu kerana lapar atau mungkin juga kita sudah berada di bumi yang suci ini.

“Alhamdulillah dah selesai makan. OK dah 3.30 ni, kita siap-siap ambil wudhu’ lepas tu terus turun ke bawah”. Ujarku kepada isteriku.

Setelah kami berada di lobi hotel, kelihatan ramai jemaah-jemaah yang sudah beberapa hari berada di Mekah keluar dari hotel. Aku dapat mengagak kerana mereka hanya memakai jubah serta telekung untuk ke Masjidilharam. Seronoknya, disini orang berpusu-pusu untuk ke Masjid walaupun jam 3.30 pagi.

Setelah kumpulan jemaah kami cukup, kami terus di bawa keluar dari Hotel secara berkumpulan. Jemaah kami diketuai oleh mutaowwif kami, Ustaz Rizqon dan Ustaz Ghafur selaku ketua rombongan. Sambil kami berjalan kami sama-sama bertalbiah. Pada masa itu aku dapat rasakan angin sepoi-sepoi bahasa di Mekah yang agak hangat walaupun jam 3.45 pagi. 

Pada masa ini, hatiku sangat sayu…aku berjalan sambil menundukkan kepala kerana mataku mula bergenang dengan air mata.

Hatiku mula berbisik, “Ya Allah…sesungguhnya Engkau Maha Besar Ya Allah… Ampunkanlah segala dosa-dosaku Ya Allah... Engkau menerimaku seadanya aku Ya Allah”.

Pintu King Abdul Aziz

Berulang kali hatiku meraung sedih dan pilu meminta keampunan dari Allah. Kesayuan dan lamunanku tiba-tiba terhenti apabila Ustaz Rizqon bersuara semasa kami sedang berjalan.

“Alhamdulillah, dihadapan kita disana adalah Masjidil Haram”.

Aku terus mendongak dan melihat kehadapan. Jarak lebih kurang dalam 200 meter aku dapat menyaksikan Masidil Haram untuk kali pertama dengan mata kepalaku sendiri. Allahu Akbar…tiba-tiba hatiku sedih kembali dan air mataku keluar dengan lajunya.

“Ya Allah…Engkau dah jemputku untuk melihat kebesaranMu Ya Allah. Engkau telah memilihku untuk menjadi tetamuMu Ya Allah. Dalam berjuta-juta umat didunia Engkau telah memilihku Ya Allah…”

Pada masa itu Allah sahaja yang tahu betapa sayu dan sedihnya dihatiku. Itu baru sahaja dapat melihat bahagian luar Masjidil Haram.

Sampai di kawasan perkarangan Masjid, Ustaz Rizqon memberitahu kami supaya tunggu waktu Subuh. Kami disarankan untuk solat Subuh diperkarangan Masjid terlebih dahulu kerana sekejap sahaja lagi akan masuk waktu. Ustaz Rizqon khuatir jika kita menunaikan solat Subuh di dalam Masjid, kami akan tersesat kerana suasana didalam Masjid memang ramai dan ada antara jemaah kami ini kali pertama disini serta ada yang sudah berumur. Ustaz Rizqon tidak mahu mengambil risiko kerana takut kami tersesat dan tidak dapat berkumpul bersama selepas solat Subuh tersebut.

Selepas menunaikan solat Subuh, kami berkumpul semula dan bersedia untuk menunaikan Umrah Pertama kami.

“Alhamdulillah kita sudah selesai Solat Subuh, lepas ini kita akan sama-sama masuk kedalam masjid untuk mengerjakan Umrah kita”. Kata Ustaz Rizqon.

Kami memasuki Masjidil Haram melalui pintu 1, Pintu King Abdul Aziz. Masuk sahaja melalui pintu tersebut, aku sudah nampak tersergam indah Ka’abah. Apa lagi bercucuran air mataku tak terkata, walaubagaimanapun aku cuba mengawal airmataku supaya jemaah lain tidak perasan. Hatiku berbisik perkara yang sama,

“Ya Allah…Engkau dah jemputku untuk melihat kebesaranMu Ya Allah. Engkau telah memilihku untuk menjadi tetamuMu Ya Allah. Aku dapat melihat sendiri Ka’abahMu Ya Allah…”

Betullah kata orang, semasa di Mekah airmata kita terlalu murah, mudah sahaja untuk menitiskan air mata. Kami terus dibawa masuk, kemudian minum air zam-zam serta berdoa. Kemudia kami bersiap untuk menunaikan rukun Umrah seterusnya iaitu Tawaf.

Tong Air Zam-Zam didalam Masjidil Haram

Ustaz Rizqon memimpin kumpulan kami dari mula berniat Tawaf sehinggalah habis tujuh pusingan tawaf.

Niat tawaf:





No comments:

Post a Comment